THEME

Wednesday 7 December 2011

Peranan Majikan Terhadap Pekerja OKU dan Teknologi Komunikasi


Dalam wawancara BERNAMA pada 28 Jun 2007 dengan Dr Wong Huey Siew, 38, pensyarah di Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Terbuka Malaysia (OUM), beliau berpendapat bahawa prasangka terhadap golongan OKU memang telah lama wujud dalam pekerjaan. Hal ini berlaku kerana ramai majikan baik swasta mahupun awam masih tidak sedar akan keupayaan yang ada pada diri golongan OKU ini.
Majikan seharusnya memainkan peranan dan sedar akan kebolehan yang ada pada diri golongan OKU sama ada dari aspek pendidikan mahupun kemahiran. Hal ini disebabkan terdapat golongan OKU yang mempunyai kebolehan namun tidak diberikan peluang untuk mengembangkan bakat yang ada pada diri mereka untuk disumbangkan.
Pada zaman teknologi yang kian canggih ini, majikan seharusnya memainkan peranan penting dalam mencari pekerja yang berkualiti. Majikan tidak seharusnya hanya menumpukan manusia normal untuk dijadikan pekerja. Malah, menjadikan golongan OKU ini sebahagian daripada pekerja di dalam organisasi mereka.
Teknologi internet yang wujud ketika ini seharusnya memudahkan mereka dalam pencarian tenaga kerja baru. Terdapat beberapa laman web di Malaysia yang boleh dijadikan panduan untuk majikan mencari golongan OKU untuk dijadikan pekerja. Sebagai contoh,laman web  jobsmalaysia.gov.my, kerjaohkerja.com, dan lain-lain lagi. Dengan cara sebegini, majikan yang prihatin untuk mengambil pekerja OKU akan mudah mencari pekerja Oku yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam organisasi mereka.
Selain itu, majikan juga berperanan menawarkan peluang pekejaan kepada golongan OKU melalui teknologi komunikasi. Teknologi internet yang ada ini memudahkan majikan mempromosikan peluang pekerjaan kepada golongan OKU yang masih mencari peluang pekerjaan. Peluang pekerjaan ini perlu difokuskan hanya untuk golongan OKU sahaja bagi memberikan mereka peluang untuk mendapatkan pekerjaan.
Kesimpulannya, perkembangan teknologi komunikasi perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh majikan-majikan dalam pencarian sumber tenaga kerja. Hal ini akan memberikan banyak kelebihan di samping mencari pekerja yang berkualiti dalam bidang tersebut.

No comments:

Post a Comment