THEME

Wednesday 30 November 2011

Cabaran Orang Kelainan Upaya(OKU) dalam Pekerjaan

Kerjaya merupakan suatu keperluan untuk setiap individu bagi menyara kehidupan seharian.Setiap individu bekerja bagi meningkatkan produktiviti Negara dan keperluan hidup sendiri serta keluarga. Bagi orang kelainan upaya (OKU) juga, tidak terlepas dalam mempunyai kerjaya dalam hidup. Hal ini kerana, mereka juga memerlukan kerjaya bagi memenuhi keperluan dan kehendak hidup mereka. Namun, menurut (Sarkees dan Scott 1986) mengatakan bahawa terdapat pandangan masyarakat terhadap golongan OKU yang menyebabkan mereka dilayan seperti golongan kelas kedua. Cabaran pekerjaan lebih hebat bagi golongan kelainan upaya (OKU). Hal ini adalah demikian kerana pelbagai cabaran terpaksa diharungi oleh golongan ini disebabkan kecacatan yang mereka alami.


            Masalah ini dapat dilihat denagn contoh berikut. Golongan cacat penglihatan lebih sukar mendapatkan pekerjaan kerana mereka tidak dapat melihat dan skop pekerjaan yang khusus untuk mereka sukar untuk diperolehi.Oleh hal yang demikian, masalah yang dihadapi oleh golongan ini dianggap sebagai satu cabaran dalam pekerjaan yang mereka harungi. Kebanyakan masyarakat mempertikaikan dalam mengambil pekerja OKU. Hal ini kerana, apabila seseorang OKU datang menemuduga, dalam pemikiiran penemuduga pasti mempunyai 1001 satu persoalan yang negatif tentang kebolehan yang ada pada golongan ini. Misalnya, “bolehkah dia merlakukan pekerjaan ini?”, “bagaimanakah dia dapat menerima arahan?” dan sebagainya. Hasilnya, menyebabkan OKU tidak dapat diterima dalam pekerjaan. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Haward (2000) mendapati terdapat 50 % hingga 70 % golongan OKU yang tidak mempunyai pekerjaan dan ada dalam kalangan mereka yang menerima pendapatan yang minimum. Masalah ini berkaitan dengan sikap golongan masyarakat yang menunjukkan sikap negatif dan memandang rendah terhadap keupayaan yang dimiliki oleg golongan OKU untuk bekerja.
            Cabaran yang ditempuh oleh golongan ini sebenarnya adalah disebabkan persepsi masyarakat yang tidak yakin akan kebolehan mereka dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Namun pada hakikatnya,banyak produktiviti yang dibuat hasil kraftangan golongan kelainan upaya ini.Justeru, masyarakat seharusnya membuka mata dengan melihat kemampuan golongan supaya masyarakat tidak memandang rendah keupayaan mereka.

Saturday 26 November 2011

MOBILITI PEKERJAAN

MOBILITI PEKERJAAN - PERKEMBANGAN KERJAYA


Mobiliti pekerjaan ialah perubahan, perpindahan atau pertukaran tempat kerja atau jawatan atau yang berkaitan dengan perubahan corak pekerjaan itu sendiri. Menurut Tolbert (1994), mendefinisikan kerjaya sebagai satu rangkaian pekerjaan yang melibatkan diri seseorang individu. Sesetengah individu mungkin akan kekal dengan satu pekerjaan sahaja sepanjang hidupnya sementara individu yang lain mungkin akan bertukar-tukar pekerjaan. Mobiliti pekerjaan sebenarnya bergantung kepada seseorang individu kerana setiap orang mempunyai personaliti  yang berbeza kerana mobiliti pekerjaan bergantung kepada personaliti, persekitaran, keselarasan dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi mereka. Antara factor yang mempengaruhi kerjaya ialah faktor genetik, faktor pendidikan dan pembelajaran, faktor persekitaran, dan faktor agama.
            Terdapat beberapa teori dalam mobiliti pekerjaan yang menjadi faktor terhadap perubahan pekerjaan individu atau masyarakat itu sendiri. Kebanyakan teori ini ialah hasil daripada teori personaliti (Sharf, 1997). Herr dan Cramer (1972) menjelaskan bahawa teori perkembangan kerjaya boleh diklasifikasikan seperti yang berikut :
Pendekatan Tret dan Faktor         
Mengandaikan bahawa tret yang ada pada diri individu adalah unik di samping dapat disesuaikan dengan keperluan dalam sesuatu pekerjaan. Fokus pendekatan teori ini kepada tret meliputi personality, bakat, minat, nilai, sikap, pencapaian serta hubungannya dengan sifat yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan.
Pendekatan Psikologikal
Pendekatan psikologi melihat perkembangan kerjaya bergantung kepada latar belakang gabungan psikologikal seseorang individu. Hal ini meliputi aspek motivaasi, struktur personaliti, sikap, peluang dan keperluan yang perlu dipenuhi.
Pendekatan Perkembangan
Teori ini memberi focus kepada proses perkembangan yang berlaku pada diri individu berasaskan fugsi masa. Tumpuan utama pendekatan ini adalah kepada tahap-tahap  perkembangan yang berlaku sepanjang hayat individu.
Pendekatan Membuat Keputusan Kerjaya
Teori ini percaya bahawa setiap individu perlu membuat keputusan tentang kerjayanya sendiri. Teori ini menumpukan cara-cara individu menggunakan maklumat tentang pengetahuan kendiri untuk membuat keputusan berkaitan kerjaya.
Pendekatan Berkaitan dengan Kehidupan
Berhubung dengan pilihan-pilihan yang boleh memenuhi keperluan diri dan potensi diri yang berkaitan dengan kerjaya.


5 Peringkat Perkembangan Kerjaya Super (1957)
Peringkat Pertumbuhan – peringkat ini berlaku antara umur 0 hingga 14 tahun. Tahap ini individu dirujuk kepada perkembangan fizikal dan psikologikalnya. Sebagai contoh, anak-anak ingin menjadi angkasawan. Pemilihan ini bersifat sementara, kabur, dan tidak begitu bererti bagi sesetengah individu.
Peringkat Penerokaan – berlaku antara umur 15 hingga 24 tahun. Terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa tentatif ( mula menyempitkan pemilihan ) dan fasa realistik ( menyempitkan pilihan kerjaya melalui pekerjaan yang dicapai olehnya ).
Peringkat Pengukuhan – berlaku antara umur 25 hingga 44 tahun. Peringkat ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa percubaan ( melihat hubungan antara penemuan awal dengan pengalaman bekerja) dan fasa stabil (menimba pengalaman sehingga menemui kerjaya yang stabil ).
Peringkat Pengekalan – berlaku sekitar umur 45 hingga 64 tahun. Individu berusaha untuk meneruskan dan membaiki situasi pekerjaannya. Proses penyesuaian dan perubahan akan terus berlaku mengikut kehendak dan faktor lain.
Peringkat Penurunan – berumur 65 tahun ke atas. Peringkat ini dikaitkan dengan waktu pencen atau bersara dengan penekanan individu terhadap kerja. Disebabkan kekuatan daya fizikal dan mental menurun, kualiti kerjaya makin merosot.


Isu-isu dalam Mobiliti Pekerjaan di Malaysia    

1.              Kebanjiran pendatang asing di Malaysia yang berhijrah untuk mendapatkan peluang pekerjaan sebagai tenaga buruh.
2.      Ramai pelajar lepasan institut pengajian tinggi menganggur kerana terlalu memilih pekerjaan.
3.      Persaingan hebat kerana kebanyakan syarikat sektor swasta cenderong mengambil pekerja luar.
4.      Majikan lebih cenderung memilih pekerja yang mempunyai kelebihan dalam teknologi akibat daripada kewujudan teknologi yang meluas kini.
5.      Pertukaran pekerjaan dengan kerap akan menyebabkan pembaziran kos dan tenaga.

Thursday 17 November 2011

Kualiti Pekerjaan


                Apabila kita ingin membeli sesuatu barang atau perkhidmatan, perkara yang amat dititikberatkan adalah kualiti barang atau perkhimatan tersebut. Kualiti yang tinggi dapat memuaskan setiap hati pengguna. Begitu juga dengan pekerjaan. Jika kita inginkan syarikat kita maju dan berjaya, kualiti pekerjaan perlu diambil kira. Seperti yang ditulis dalam buku Quality of working life in international perspective yang mengatakan ‘the quality of working life may encompass all those aspects of work-related life - including, inter alia, wages and hours, work environment, benefits and services, career prospects and human relations’. Oleh itu, setiap aspek dalam pekerjaan tidak boleh di pandang remeh. Walaupun ianya perkara yang kecil, tetapi impaknya adalah besar.

          Sebagai contoh, melayari internet dengan tujuan hiburan. Seperti yang kita ketahui, Facebook merupakan laman sosial yang menjadi ikutan semua lapisan umur. Dan tidak terkecuali kepada mereka yang bekerja terutama pekerja yang bekerja dalam pejabat di mana majotirinya masing-masing mempunyai computer di pejabat. Laman sosial seperti Facebook dan laman web yang yang mendapat sambutan yang tinggi seperti YouTube akan mereka layari semasa waktu bekerja. Hal ini akan memberi kesan kepada kualiti bekerja kerana mereka akan leka dengan melayari internet untuk tujuan keseronokan. Kerja-kerja di pejabat akan tertangguh dan sehingga lupa untuk melaksanakannya.

 

          Teknologi komunikasi seperti internet sememangnya memudahkan pekerja untuk berhubung dengan pihak-pihak tertentu. Tetapi ramai yang telah menyalahgunakan kemudahan tersebut. Kemudahan yang ada seharusnya meningkatkan kualiti pekerjaan, namun apa yang berlaku adalah disebaliknya, kualiti pekerjaan semakin menurun. Kualiti pekerjaan ini merujuk kepada prestasi iaitu salah satu masalah prestasi pekerja selain kehadiran dan tingkah laku, seperti yang ditulis dalam buku Discipline without punishment.




          Menurut Maharum Abdullah, salah seorang pekerja Telekom Malaysia Berhad, ramai yang telah menyalahgunakan internet. Internet yang ada bertujuan untuk mendapatkan data, tetapi apa yang berlaku adalah, terdapat segelintir pihak yang menggunakan internet untuk tujuan hiburan, seperti yang telah saya ungkapkan di atas. Bukan itu sahaja, teknologi komunikasi seperti telefon juga disalahgunakan. Menurut beliau, panggilan telefon kemana sahaja adalah percuma kerana Telekom Malaysia Berhad merupakan syarikat telekomunikasi yang terbesar di Malaysia. Oleh itu ramai yang menggunakan kemudahan itu sewenang-wenangnya. Akibat daripada dua perkara ini, kualiti pekerjaan menurun. Oleh itu, syarikat telah menyekat pengaksesan sesetengah laman web seperti Facebook pada waktu bekerja. Hanya pada waktu rehat iaitu pukul 1 sampai pukul 2 serta selepas waktu bekerja sahaja pengaksesan ke laman web tersebut dapat dilakukan. Dengan itu barulah kualiti pekerjaan dapat ditingkatkan semula.



‘Commit yourself to completing whatever you start
and to do well whatever you do. You'll feel
good at doing a good job, even if you
are the only one who knows
how good it is’ 
Gini Graham Scott


Sumber rujukan:

1. Quality of working life in international perspective : Yves Delamotte and Shin-ichi Takezawa
2. Discipline without punishment Dick Grote
3. ENJOY! 101 Little Ways to Add Fun to Your Work Every Day : Gini Graham Scott
4. Maharum Abdullah, pekerja Telekom Malaysia Berhad

Posted by : Atisuriani Azizan
 

Thursday 10 November 2011

Jalan Pendapatan Online

Pendapatan bermaksud sumber gaji yang masuk dalam sesuatu tempoh melalui pekerjan ataupun pelaburan yang dilakukan. bagi mendapatkan pendapatan pada suatu ketika dahulu seseorang perlu keluar rumah dan mencari pekerjaan bagi mendapatkan rezeki mereka bagi menampung kehidupan yang serba memerlukan wang dalam segala urusan terutamanya untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pakaian, rumah dan kenderaan. Dengan memiliki barangan asas ini barulah kehidupan akan dianggap sempurna. Namun hal ini berubah dengan perkembangan teknologi komunikasi yang mengubah gaya kehidupan untuk memperolehi pendapatan.


Perkembangan internet sejak tahun 90an telah banyak mengubah gaya kehidupan manusia dalam mencari peluang dan ruang bagi mengisi kocet mahupun sebagai sumber pendapatan utama ataupun bagi tujuan sumber pendapatan sampingan. Peluang yang ada dapat digunakan dengan bermanfaat sekiranya pengguna pandai mencari peluang dan boleh menjadikannya satu peluang yang baik bagi mengisi kocet secara harian ataupun bulanan yang boleh menjadi gaji tetap dengan bekerja secara mudah hanya dari rumah dan hanya memerlukan talian internet sebagai medium penghubung.


Pada masa kini dengan perkembangan teknologi komunikasi telah banyak mengubah gaya dalam kehidupan kita dalam melakukan segala urusan seharian. Perubahan yang berlaku sangat memberi kesan dalam kehidupan, perkara yang paling memberi kesan adalah kesempatan untuk seorang individu tidak lagi perlu untuk keluar rumah bagi memperolehi pendapatan bagi menampung kehidupan mereka, hal ini berlaku begitu meluas dengan terhasilnya kemudahan talian perhubungan internet yang mampu menghubungkan setiap pengguna kepada kepelbagaian sumber pendapatan.

Pada masa yang sama pelbagai jenis perniagaan yang telah di wujudkan dengan kepelbagaian terma yang cuba menarik minat pengguna, hal ini bertujuan menarik minat pengguna bagi mereka menjana pendapatan menerusi online. Bagi pengguna yang mempunyai kemahiran untuk membina lama sesawang ataupun mampu untuk mengupah orang untuk membina lama sesawang sendiri, mereka boleh merancang satu sistem jualan barangan berdasarkan sistem pemasaran e-dagang yang dapat menjana pendapatan buat mereka yang berminat untuk menjana pendapatan. Melalui e-dagang pengguna mempunyai satu rangkaian untuk dikembangkan dengan melakukan promosi untuk membentuk rangkaian yang besar, segala urusan pemilikikan replika promosi juga turut diberikan kepada pengguna yang berminat untuk menambah pendapatan dan pengguna boleh berkongsi perkhidmatan yang ditawarkan dalam laman forum, laman sosial yang dekat kepada pengguna pada masa kini yang terdedah dengan teknologi komunikasi, keadaan ini digunakan meluas menjadikan perkembangan yang baik dan menjimatkan berbanding penggunaaan kaedah lama yang memerlukan proses pengiklanan melaluai media cetak dan elektronik yang tinggi kosnya.










Pendapatan online yang berkembang bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan di negara ini adalah ‘online shop’ dengan kemudahan dan perkembangan teknologi segala urusan jual beli dapat dijalankan dengan mudah, kaedah yang paling menjimatkan untuk memulakan ‘online shop’ adalah dengan membuka akaun dalam ruangan blog seperti ‘www.blogspot.com’, pemilik laman blog hanya perlu mempamerkan imej barangan yang ingin dijual dan segala urusan dilakuan hanya di atas talian, antara barangan yang boleh diperolehi melalui blog ialah barangan keperluan yang kita perlukan seperti perkhidmatan, barangan makanan, pakaian, hartanah, kenderaan dan banyak lagi jual beli boleh dilakukan, dengan perkembangan teknologi urusan jual beli boleh dijalankan tanpa mengira waktu dan perkembangan dalam perbankkan dapat membantu segala urusan jual beli bagi pengguna menjalankan pembayaran secara terus dengan pemindahan wang dari akaun pengguna kepada peniaga, urusan ini telah merancakkan lagi urusan penjual bagi mencari pendapatan dengan medium moden teknologi kominikasi.



Pengguna yang rajin untuk mencari sumber pendapatan dengan perkembangan teknologi boleh mendapatkat maklumat dan perkongsian maklumat melalui laman blog individu ataupun dengan laman yang bertujuan untuk mempermosikan perkhidmatan yang dijalankan. Pelbagai jenis kaedah untuk menjana pendapatan yang boleh ditemui, antara kaedah yang ditawarkan pendapatan secara ‘multi lavel marketing’ (MLM), pendapatan pasif, membuat soal selidik, promosi laman web dan banyak lagi mengikut perkembangan keadaan semasa. Pada masa kini  laman yang menjadi perkongsian maklumat ini yang popular bagi mendapatkan maklumat dan boleh dijadikan sebagai rujukan ialah ‘www.carigold.com’ dan ‘www.majalah.com’.




Walaubagaimanapun pengguna harus memikirkan dan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum mengunakan ataupun mencuburkan diri bagi segala tawaran yang ada agar pengguna tidak menanggung kerugian akibat penipuan yang dilakukan oleh sendikit yang sekadar ingin memperdaya pengguna semata-mata. Selain itu, walaupun perkembangan teknologi telah mampu untuk mengubah kehidupan dalam mencari pendapatan, masalah besar yang mungkin kita dapat lihat pada masa akan datang ialah terdapat golongan yang tidak dapat menyesuaikan kehidupan dalam masyarakat dan menjadikan golongan yang kurang sihat kerana terlalu bergantung kepada teknologi komunikasi.

Oleh itu pengguna seharusnya mengawal keadaan ini, hal ini kerana jika mereka mampu mengatasi keadaan ini merekan tidak akan menjadi mangsa di bawah kawalan teknologi komunikasi.

PENDAPATAN ONLINE

            Teknologi yang semakin berkembang pesat telah mewujudkan pelbagai kemudahan dalam bidang pekerjaan. Teknologi masa kini telah mewujudkan pekerjaan seperti perniagaan online iaitu dengan menggunakan teknologi seperti internet. Ini secara tidak langsung telah mewujudkan pendapatan online melalui perniagaan menggunakan internet. Pendapatan online atau lebih dikenali sebagai “internet marketing” merupakan istilah umum bagi pelbagai jenis promosi ataupun jualan produk yang dilakukan melalui medium atau platform internet.
Andrew Selby dan Alistair Farzad,
 
Andrew Selby dan Alistair Farzad, dua orang remaja yang berasal dari Leeds yang telah berjaya dalam perniagaan online. Mereka telah menubuhkan sebuah syarikat yang menjual aksesori “Skin” atau lapisan paling luar bagi sesuatu peranti mudah alih khususnya peranti digital seperti "iPod" yang kini dianggap sebagai satu keperluan kepada pengguna terutamanya di kalangan remaja. Mereka menubuhkan syarikat I-Magine seawal usia 20-an. Mereka hanya mengambil masa 12 bulan untuk berjaya dalam perniagaan online dan kini mereka bukan sahaja menjual skin untuk iPod tetapi menjual pelbagai aksesori untuk peranti yang sangat popular di kalangan remaja. Aksesori dijual melalui laman web utamanya iaitu Iskins yang boleh dicapai di www.iskins.co.uk

Internet merupakan platform yang paling ideal untuk memulakan sesuatu perniagaan. Ini kerana penggunaan internet dalam perniagaan tidak memerlukan banyak modal. Apa yang diperlukan untuk memulakan perniagaan ialah dengan memiliki komputer serta sambungan ke internet. Selebihnya ialah idea yang menjadi aset yang paling berharga bagi menjana konsep produk atau perkhidmatan yang kreatif dan inovatif.
Kemudahan teknologi membantu mewujudkan perniagaan yang mudah dan memperoleh pendapatan yang lumayan. Pengusaha tidak perlu menyewa lot kedai serta mengadakan promosi dengan mengiklankan perniagaan secara tradisional misalnya di dalam surat khabar ataupun menerusi pos yang menelan belanja yang besar sebaliknya memadai dengan menjalankan perniagaan menerusi laman web yang telah dibangunkan yang boleh diibaratkan sebagai kedai maya.
Secara umumnya, terdapat dua perkara utama yang boleh diniagakan di internet untuk menghasilkan pendapatan iaitu produk dan perkhidmatan. Penjualan produk di internet boleh dilakukan, seperti menjual barangan buku, barangan kraf tangan, cenderahati, makanan kering, vcd pendidikan, makanan segera, kopi, kaset, peta dan sebagainya. Produk-produk ini adalah hasil buatan sendiri atau usahawan membeli produk ini secara borong dan menjualnya semula.
Menjual perkhidmatan pula adalah persaingan seperti mereka cipta logo dan laman web, khidmat alih bahasa, melukis karikatur, membuat album foto digital, membaiki komputer, pemandu pelancong, tempat peranginan dan sebagainya. Sama seperti berniaga produk, ada antara perkhidmatan ini boleh ditawarkan oleh diri sendiri dan ada antaranya anda hanya menjadi ejen dan mendapat pendapatan melalui komisyen.

 Kelebihan peniagaan online.
Terdapat kelebihan melalui perniagaan internet iaitu perniagaan ini tidak memerlukan banyak modal. Modal sedikit adalah dikeluarkan untuk pembangunan laman web di mana ia boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan. Selain itu, promosi tentang perniagaan boleh dilakukan dengan cara menghebahkan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi forum-forum, e-mel, ruang sembang, mesej segera dan juga mengiklan perkhidmatan di dalam laman web atau portal yang popular dikunjungi di mana kos yang diperlukan tidaklah sebanyak kos pengiklanan tradisional.
Seterusnya, jualan perniagaan online boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam. Perniagaan online boleh bergerak 24 jam sehari, 7 hari seminggu, dan 365 hari setahun. Menggunakan teknologi ini pelanggan boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai khidmat anda 24 jam sehari. Jika selama ini pelanggan hanya boleh menelefon untuk membuat pertanyaan pada waktu pejabat sahaja, kini mereka boleh lakukan walaupun pada pukul 3 pagi. Ini menambahkan lagi peluang perkhidmatan yang dilakukan dikenali dan digunakan.
Perniagaan online juga mempunyai kelebihan dari segi kurangnya risiko. Semua perniagaan mempunyai risiko. Kelebihan perniagaan online adalah perniagaan ini mempunyai risiko yang rendah berbanding perniagaan offline. Modal yang dikeluarkan boleh disalurkan kepada bentuk perniagaan lain sekiranya perniagaan yang dilakukan menemui kegagalan.
Melalui perniagaan online juga dapat meluaskan perniagaan ke seluruh negara. Misalnya peluang perniagaan global memungkinkan perkembangan perniagaan yang dilakukan ke seluruh dunia. Tidak timbul lagi soal kedudukan geografi. Namun perniagaan yang dilakukan mestilah menepati cita rasa pelanggan. Kelebihan perniagaan online juga seperti tiada batasan dan sempadan, dan peniaga boleh berhubungan dengan pelanggan anda di Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Asia dan Eropah melalui e-mel, blog dan juga facebook.
Melalui perniagaan internet, pendapatan boleh diperoleh melalui "merchant account". Merchant account merupakan institusi seperti bank yang mengawal proses pembayaran. Apabila merchant account telah menerima bayaran daripada pembeli, ia akan menghantar e-mel kepada anda yang menyatakan bahawa bayaran telah dibuat dan anda boleh membuat penghantaran produk atau memberikan perkhidmatan anda. Selain itu penggunaan kad kredit juga boleh dilakukan untuk membuat pembayaran. Ini kerana penggunaan kad kredit adalah sangat mudah dan ringkas.
Kesimpulannya, teknologi kini telah banyak memberi kesan terhadap keupayaan pekerjaan seperti perniagaan online untuk memperoleh pendapatan yang lumayan. Ini memberi peluang kepada golongan usahawan untuk menerokai dan mencipta peluang untuk memperoleh pendapatan melalui perniagaan online melalui kreativiti dan kebijaksanaan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan secara online.
 
Sumber:1. Osman Affan (2007) : Menjual perkhidmatan di internet.
 2. Khairul Nizam Zainal Badri (2007) : Remaja yang sukses dalam e-dagang.
 3.Allan Afuah, Christopher L. Tucci (2003) : Internet, Business models and strategies.
                   5. http://www.mahadirlab.com/apa-itu-perniagaan-internet/ 

DISKRIMINASI PEKERJAAN DAN TEKNOLOGI


Diskriminasi di dalam pekerjaan telah berlaku sejak zaman revolusi perindustrian lagi. Misalnya, kita dapat melihat melalui pembahagian kelas pekerjaan mengikut gender di mana lelaki lebih menguasai sektor-sektor penting dalam pembangunan sesebuah negara berbanding golongan wanita yang dianggap golongan yang lemah dan hanya mampu membuat kerja-kerja seperti suri rumah dan tidak mampu menyumbang produktiviti kepada pembangunan sesebuah negara.
Golongan lelaki dianggap lebih berkuasa, gagah , dan mampu melakukan kerja yang berat jika dibandingkan dengan golongan wanita sering-kali dikatakan sebagai golongan ditindas , tiada hak untuk bersuara apatah lagi memegang jawatan yang tinggi di dalam sesebuah organisasi. Justeru itu , hak-hak mereka dalam menyuarakan pendapat di dalam menentukan keputusan jarang sekali di terima oleh majikan.

“Stereotype” yang sering dipaparkan oleh media juga turut mempengaruhi  diskriminasi pekerjaan terhadap golongan wanita. Misalnya , di dalam filem wanita sering diberikan watak sebagai seorang yang lemah, penyabar, dan menurut kehendak lelaki yang telah diketahui umum mencerminkan seorang yang mempunyai status yang tinggi , kedudukan , pangkat dan mengawal golongan yang lemah.
Perbezaan status ini juga menyebabkan wanita tidak mampu untuk mengusai teknologi yang canggih pada hari ini dan mereka hanya mampu menjadi sebagai penerima teknologi kerana kebanyakan kemajuan serta kecanggihan teknologi dikuasai oleh golongan lelaki.
Misalnya , penggunaan mesin dan jentera berat dalam industri lebih diberikan kepercayaan oleh majikan kerana mereka lebih kuat dari segi fizikal dan mental untuk mengendalikan jika dibandingkan golongan wanita.


Walaupun pelbagai persepsi terhadap wanita yang telah di gambarkan kepada masyarakat melalui media elektronik dan media cetak sejak beberapa dekad yang lalu. Namun , kemajuan yang di kecapi oleh sesebuah negara moden pada hari ini telah membuktikan bahawa bertapa besar sumbangan golongan wanita terhadap perkembangan teknologi. Justeru itu, diskriminasi pekerjaan terhadap golongan wanita tidak seharusnya berlaku dalam memberikan sumbangan terhadap negara.

Wednesday 9 November 2011

Kualiti dan Produktiviti Kerja


(*1)
            Pengguna masa kini mempunyai kesedaran yang lebih matang terhadap nilai produk dan perkhidmatan yang mereka ingin dapatkan. Mereka menuntut kualiti produk dan perkhidmatan yang terbaik berbanding dengan harga yang mereka bayar. Mereka juga mempunyai alternatif yang pelbagai untuk memilih pembekal yang dapat menawarkan produk dengan nilai yang terbaik kepada mereka. Justeru itu, adalah menjadi cabaran kepada setiap organisasi sama ada awam ataupun swasta yang menawarkan produk atau perkhidmatan supaya lebih komited terhadap isu meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan untuk disediakan kepada pelanggan.

            Produktiviti disifatkan sebagai nisbah output yang dikeluarkan dibandingkan dengan input (sumber) yang digunakan dalam proses pengeluaran produk atau perkhidmatan. Input dalam sistem pengeluaran terdiri daripada tanah, wang, tenaga manusia, mesin, bahan dan masa. Organisasi yang produktif berupaya bersaing pada peringkat global. Sebagai contoh, organisasi yang menggunakan teknologi moden dan terkini dapat meningkat produktiviti kerana ia mampu mengeluarkan produk dan perkhidmatan baru dengan harga yang lebih kompetitif.

            Kualiti produk atau perkhidmatan boleh diukur dari segi kepuasan pengguna atau pelanggan. Ia merangkumi aspek daya tarikan produk, pembungkusan, layanan, komunikasi dan perkhidmatan sokongan. Kualiti dan produktiviti adalah faktor penting yang mampu memimpin daya saing dan daya maju sesebuah organisasi.



(*2)
            Faktor utama yang mempengaruhi produktiviti sesebuah organisasi ialah penggunaan teknologi moden dalam bidang pentadbiran. Melalui penggunaan teknologi, sesetengah proses kerja dapat diautomasi atau dimekanisasikan. Kebanyakkan kerja yang dahulunya dibuat oleh manusia kini telah bertukar kepada penggunaan teknolgi seperti mesin. Sebagai contoh, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mentransformasikan jabatan ini yang mana mereka mengadaptasikan teknologi komunikasi di jabatan ini. Sebelum ini penggunaan sistem secara manual banyak memberi masalah kepada pengguna apabila melibatkan pertukaran maklumat-maklumat. Melalui sistem pendaftaran Pemandu dan Kenderaan, Sistem Perkhidmatan Perlesenan dan Saman yang telah dilancarkana pada tahun 1997, ianya telah meningkatkan kecekapan dan produktiviti dari segi mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat. Sistem ini telah menyediakan perkhidmatan seperti saluran penyampaian “multi delivery channel” secara elektronik kepada orang awam.

            Antara lain ialah Jabatan Pertanian yang telah memulakan Sistem Pemetaan Berkomputer sejak tahun 1981 dan telah mempetingkatkannya sesuai dengan perubahan teknologi kini. Pada tahun 1984 Jabatan Pertanian telah mengujudkan Sistem Maklumat Pertanian. Kesemua maklumat gunatanah dan tanah-tanah telah dimasukkan kedalam komputer. Ia telah meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam pengeluaran peta kerana dahulunya pengeluaran peta mengambil masa 3 bulan untuk dikeluarkan yang mana kini ianya hanya mengambil masa kurang dari 9 jam sahaja.


(*3)
                Selain itu, kita boleh melihat teknologi komunikasi juga berkembang melalui “business online”. Perniagaan secara online telah berkembang dengan pesat di serata dunia. Teknologi komunikasi bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti seseorang itu, malahan ia juga dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat dan salah satunya ialah “business online”. Kedai online samalah seperti kedai-kedai yang lain iaitu untuk menjual barangan cuma barangan dijual secara maya di internet. Kini kita dapat melihat wujudnya banyak perniagaan secara online seperti Busana Kedai Online.Biz, Bookcafe.com.my, niaga24.jam, kedai perantu.net, dan cpuetri2u.com adalah contoh perniagaan secara online.














Terdapat 7 cara paling berkesan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja bagi seseorang yang menjalankan perniagaan secara online.
  1. pengguna perlulah diberi gambaran yang jelas tentang kepakaran, perniagaan dan maklumat yang jelas tentang pemilik perniagaan
  2. peniaga perlu mengelakkan dari membina terlalu banyak akaun kerana ianya boleh menjatuhkan kredibilti diri dan perniagaan.
  3. untuk meningkatkan kredibiliti, seseorang peniaga perlulah memasukkan pengenalan diri dan perniagaan yang lengkap untuk meraih kepercayan pengguna.
  4. peniaga perlulah sentiasa menghargai setiap pengguna yang membuat pembelian dengan mereka untuk menunjukkan kredibilti dan kualiti kerja peniaga.
  5. peniaga perlu menyediakan produk yang berkualiti tinggi untuk menunjukkan sikap peniaga yang amat komited dengan peniagaan yang dijalankan dan secara tidak langsung ia dapat menarik minat pengguna untuk terus berurusan dengan peniaga.
  6. peniaga perlu menyediakan khidmat pelanggan yang terbaik untuk membina jaringan yang kuat antara peniaga dan pengguna. Apabila wujudnya jaringan yang kuat ia akan menyebabkan produktiviti seseorang peniaga itu meningkat.
  7. peniaga harus berpegang pada janji dan sedia menolong pengguna yang mempunyai kesulitan dengan barangan yang dibeli.

(*4)
            Teknologi komunikasi banyak memberi kemudahan dalam hidup kita kerana kita tidak lagi perlu membuang masa, menggunakan tenaga dan modal yang besar hanya untuk berkomunikasi dengan orang lain. Namun begitu, setiap perkara pasti memiliki nilai positif dan negatifnya. Di sebalik semua keuntungan yang kita dapat melalui teknologi komunikasi seperti komputer, tentu saja ada impak negatif yang akan kita perolehi daripada penggunaannya. Di dalam sektor pekerjaan, komputer merupakan salah satu teknologi komunikasi yang amat diperlukan oleh seseorang pekerja. Namun begitu, kita tidak sedar bahawa komputer boleh menjejaskan kesihatan seseorang pekerja lantas boleh menyebabkan produktiviti dan kualiti kerja menurun. RSI (Repetitive Strain Injury) atau istilah lainnya ialah Repetitive Stress Injury ialah cedera atau kerosakan yang terjadi kepada otot atau saraf anggota badan yang lain apabila sering melakukan sesuatu perkara itu berjam-jam lamanya. Faktor penyebab kepada RSI ialah penggunaan keyboard dan mouse selama berjam-jam.

            Kesimpulannya dapat disimpulkan bahawa penggunaan teknolgi komunikasi dalam sektor pekerjaan sememangnya dapat mengembangkan produktiviti dan menyediakan peluang pekerjaan yang meluas serta meningkatkan kualiti kerja di dalam pelbagai sector pekerjaan. Secara dasarnya teknologi komunikasi hanya dilihat dari sudut positif sahaja namun banyak keburukan daripada teknologi komunikasi yang tidak kita sedari dan boleh mendatangkan pelbagai penyakit kepada seseorang yang banyak terdedah kepada penggunaan komputer terutamanya didalam sektor pekerjaan seperti mata berair dan gangguan penglihatan.