Teknologi yang semakin berkembang pesat telah mewujudkan pelbagai kemudahan dalam bidang pekerjaan. Teknologi masa kini telah mewujudkan pekerjaan seperti perniagaan online iaitu dengan menggunakan teknologi seperti internet. Ini secara tidak langsung telah mewujudkan pendapatan online melalui perniagaan menggunakan internet. Pendapatan online atau lebih dikenali sebagai “internet marketing” merupakan istilah umum bagi pelbagai jenis promosi ataupun jualan produk yang dilakukan melalui medium atau platform internet.
Andrew Selby dan Alistair Farzad, |
Andrew Selby dan Alistair Farzad, dua orang remaja yang berasal dari Leeds yang telah berjaya dalam perniagaan online. Mereka telah menubuhkan sebuah syarikat yang menjual aksesori “Skin” atau lapisan paling luar bagi sesuatu peranti mudah alih khususnya peranti digital seperti "iPod" yang kini dianggap sebagai satu keperluan kepada pengguna terutamanya di kalangan remaja. Mereka menubuhkan syarikat I-Magine seawal usia 20-an. Mereka hanya mengambil masa 12 bulan untuk berjaya dalam perniagaan online dan kini mereka bukan sahaja menjual skin untuk iPod tetapi menjual pelbagai aksesori untuk peranti yang sangat popular di kalangan remaja. Aksesori dijual melalui laman web utamanya iaitu Iskins yang boleh dicapai di www.iskins.co.uk.
Internet merupakan platform yang paling ideal untuk memulakan sesuatu perniagaan. Ini kerana penggunaan internet dalam perniagaan tidak memerlukan banyak modal. Apa yang diperlukan untuk memulakan perniagaan ialah dengan memiliki komputer serta sambungan ke internet. Selebihnya ialah idea yang menjadi aset yang paling berharga bagi menjana konsep produk atau perkhidmatan yang kreatif dan inovatif.
Kemudahan teknologi membantu mewujudkan perniagaan yang mudah dan memperoleh pendapatan yang lumayan. Pengusaha tidak perlu menyewa lot kedai serta mengadakan promosi dengan mengiklankan perniagaan secara tradisional misalnya di dalam surat khabar ataupun menerusi pos yang menelan belanja yang besar sebaliknya memadai dengan menjalankan perniagaan menerusi laman web yang telah dibangunkan yang boleh diibaratkan sebagai kedai maya.
Secara umumnya, terdapat dua perkara utama yang boleh diniagakan di internet untuk menghasilkan pendapatan iaitu produk dan perkhidmatan. Penjualan produk di internet boleh dilakukan, seperti menjual barangan buku, barangan kraf tangan, cenderahati, makanan kering, vcd pendidikan, makanan segera, kopi, kaset, peta dan sebagainya. Produk-produk ini adalah hasil buatan sendiri atau usahawan membeli produk ini secara borong dan menjualnya semula.
Menjual perkhidmatan pula adalah persaingan seperti mereka cipta logo dan laman web, khidmat alih bahasa, melukis karikatur, membuat album foto digital, membaiki komputer, pemandu pelancong, tempat peranginan dan sebagainya. Sama seperti berniaga produk, ada antara perkhidmatan ini boleh ditawarkan oleh diri sendiri dan ada antaranya anda hanya menjadi ejen dan mendapat pendapatan melalui komisyen.
Kelebihan peniagaan online.
Terdapat kelebihan melalui perniagaan internet iaitu perniagaan ini tidak memerlukan banyak modal. Modal sedikit adalah dikeluarkan untuk pembangunan laman web di mana ia boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan. Selain itu, promosi tentang perniagaan boleh dilakukan dengan cara menghebahkan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi forum-forum, e-mel, ruang sembang, mesej segera dan juga mengiklan perkhidmatan di dalam laman web atau portal yang popular dikunjungi di mana kos yang diperlukan tidaklah sebanyak kos pengiklanan tradisional.
Seterusnya, jualan perniagaan online boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam. Perniagaan online boleh bergerak 24 jam sehari, 7 hari seminggu, dan 365 hari setahun. Menggunakan teknologi ini pelanggan boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai khidmat anda 24 jam sehari. Jika selama ini pelanggan hanya boleh menelefon untuk membuat pertanyaan pada waktu pejabat sahaja, kini mereka boleh lakukan walaupun pada pukul 3 pagi. Ini menambahkan lagi peluang perkhidmatan yang dilakukan dikenali dan digunakan.
Perniagaan online juga mempunyai kelebihan dari segi kurangnya risiko. Semua perniagaan mempunyai risiko. Kelebihan perniagaan online adalah perniagaan ini mempunyai risiko yang rendah berbanding perniagaan offline. Modal yang dikeluarkan boleh disalurkan kepada bentuk perniagaan lain sekiranya perniagaan yang dilakukan menemui kegagalan.
Melalui perniagaan online juga dapat meluaskan perniagaan ke seluruh negara. Misalnya peluang perniagaan global memungkinkan perkembangan perniagaan yang dilakukan ke seluruh dunia. Tidak timbul lagi soal kedudukan geografi. Namun perniagaan yang dilakukan mestilah menepati cita rasa pelanggan. Kelebihan perniagaan online juga seperti tiada batasan dan sempadan, dan peniaga boleh berhubungan dengan pelanggan anda di Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Asia dan Eropah melalui e-mel, blog dan juga facebook.
Melalui perniagaan internet, pendapatan boleh diperoleh melalui "merchant account". Merchant account merupakan institusi seperti bank yang mengawal proses pembayaran. Apabila merchant account telah menerima bayaran daripada pembeli, ia akan menghantar e-mel kepada anda yang menyatakan bahawa bayaran telah dibuat dan anda boleh membuat penghantaran produk atau memberikan perkhidmatan anda. Selain itu penggunaan kad kredit juga boleh dilakukan untuk membuat pembayaran. Ini kerana penggunaan kad kredit adalah sangat mudah dan ringkas.
Kesimpulannya, teknologi kini telah banyak memberi kesan terhadap keupayaan pekerjaan seperti perniagaan online untuk memperoleh pendapatan yang lumayan. Ini memberi peluang kepada golongan usahawan untuk menerokai dan mencipta peluang untuk memperoleh pendapatan melalui perniagaan online melalui kreativiti dan kebijaksanaan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan secara online.
Sumber:1. Osman Affan (2007) : Menjual perkhidmatan di internet.
2. Khairul Nizam Zainal Badri (2007) : Remaja yang sukses dalam e-dagang.
3.Allan Afuah, Christopher L. Tucci (2003) : Internet, Business models and strategies.
5. http://www.mahadirlab.com/apa-itu-perniagaan-internet/
No comments:
Post a Comment